Kami di Animonsta meminta maaf kepada semua peminat dan penonton BoBoiBoy yang kecewa dengan episod ulangan. Ada kami maklumkan di facebook seminggu sebelum episod ulangan tetapi kesilapan pihak kami ialah kami tidak letak di blog dan maklumkan dengan lebih jelas.
Untuk makluman semua, episod baru BoBoiBoy akan bermula hanya pada Julai sebanyak 4 episod dan baki 5 episod akan bermula pada cuti sekolah hujung tahun ini. Setiap musim hanya ada 13 episod sahaja.
Bagi menjelaskan lagi tentang perlunya episod ulangan, berikut adalah 3 faktor yang perlu ambil kira:
1) Had Kapasiti
Kapasiti produksi BoBoiBoy hanya mampu mengeluarkan 13 episodes setahun. Oleh kerana hanya 13 episodes, jadi memang akan ada episod-episod ulangan bagi memastikan BoBoiBoy dapat berada di kaca TV selama setahun (setahun ada 52 minggu).
Sekarang seramai 27 krew dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan BoBoiBoy. Kapasiti ini agak rendah jika dibandingkan dengan bilangan episodes yang kami perlu hasilkan. Secara purata, satu episode setengah jam mengambil masa 6 - 8 minggu untuk dihasilkan.
Semestinya pihak Animonsta akan menambah ramai lagi krew. Asalnya kami mahu menambah krew untuk dapat menyiapkan siri dengan lebih cepat tetapi selepas melihat kepada permintaan orang ramai terhadap BoBoiBoy The Movie, kami membuat keputusan untuk tenaga baru masuk ke team movie.
2) Kepentingan "Pilot" dan "Season Break"
Pada peringkat awal siri BoBoiBoy ini, kami sebenarnya kurang pasti sejauh mana kejayaan BoBoiBoy apabila ditayangkan nanti. Setelah berbincang, kami bersetuju untuk menggunakan formula "pilot" dan "season break". Dengan ini kami dapat melihat reaksi dari penonton. Dari reaksi yang kami terima untuk episod 1 hingga 4, kami dapat menggunakan maklumat tersebut untuk membuat siri yang lebih sesuai untuk penonton.
Sebagai contoh, pada peringkat awal, kami mensasarkan penonton yang berumur 7-12 tahun. Namun selepas tayangan, kami mendapati penonton remaja dan awal dewasa juga meminati BoBoiBoy (lebih dari 50% adalah penonton remaja dan awal dewasa). Maklumat seperti ini membantu kami untuk mencipta episod yang lebih dekat dengan penonton. Selepas ini anda akan dapat lihat siri BoBoiBoy lebih cenderung kepada remaja juga.
Untuk tahun ini BoBoiBoy akan muncul dengan episod baru sebanyak 3 kali iaitu bulan Mac, Julai dan Disember (cuti sekolah). Untuk mengelakkan siaran ulangan yang banyak pada musim ke-2, kami sedang mempertimbangkan untuk memulakan musim ke-2 pada Jun 2012. Bermakna episod-episod baru akan ditayangkan pada bulan Jun dan juga Disember.
3) Siri baru
BoBoiBoy adalah siri animasi baru. Dari minggu ke minggu, semakin ramai yang menonton BoBoiBoy. Namun bagi penonton baru, mereka terlepas episod-episod awal. Siaran BoBoiBoy diulang bagi memastikan untuk penonton baru dapat mengikut jalan cerita BoBoiBoy dari awal lagi. Ini amat penting kerana siri BoBoiBoy berkesinambungan.
Apa pun, kami krew Animonsta menjanjikan hanya yang terbaik. Kami meminta maaf sekali lagi kepada penonton dan peminat yang kecewa dengan siaran ulangan BoBoiBoy. Kami harap peminat faham dengan situasi ini.
p/s: Pihak TV3 dan Animonsta sedang bekerjasama untuk pertandingan "BoBoiBoy Terbaik!!!". Nantikan next entry diblog ini mengenai peraduan ini!